Tiada kesedihan yang paling hebat bagi seorang isteri lebih daripada matinya cinta suami. Suami curang atau berkahwin lain boleh mematikan terus semangat hidup isteri. Namun segala perancangan manusia itu amatlah lemah dibandingkan dengan perancangan Allah Taala.
Ramai wanita yang bersuamikan lelaki-lelaki soleh pun boleh dikejutkan oleh kematian cinta. Lelaki yang tidak pernah menduakan, yang sentiasa melindungi, penuh kelembutan dan kasih sayang. Tiba-tiba cinta lelaki sempurna ini berakhir dengan tragis.
Ajalnya sudah menjemput tanpa memberi peluang untuk isteri bersedia ditinggalkan. Siapa saja boleh mati dulu, tidak kira tua atau muda, isteri atau suami. Kadang-kadang suami yang sakit bertahun-tahun akhirnya isteri dulu yang Allah Taala panggil pulang. Segala kisah cinta dan kehidupan mereka akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT.
Ramai isteri yang menyesal kerana tidak dapat berbuat baik kepada suami semasa hidupnya. Apabila kematian itu datang mengejut yang diingat hanya dosa-dosa pada suami. Lembaran kenangan bersama suami ditangisi disebabkan peluang untuk mencintai dengan sempurna telah tamat.
Isteri menangisi lembaran-lembaran hitamnya dalam perkahwinan. Teringat semasa dahulu dirinya tidak menghiraukan pujukan suami, tak pedulikan permintaannya, buat tak tahu kesedihannya.
Makan minum suami tidak dijaga, ergi berlalu saat suami mahukan teman bicara, terlalu ghairah ke luar rumah sehingga tiada masa memahami suami. Konflik demi konflik silih berganti, selalunya suami saja yang mengalah. Isteri yang menyesal dan bertaubat tetap akan mengingat kesedihan ini, ia seksaan daripada Allah SWT di dunia supaya dirinya sedar.
Eloklah jika kita saling beringat, supaya hal ini tidak terjadi dalam rumahtangga kita.
Dosa suami pada isteri
Para suami pula ramai yang berdosa kepada isteri, antara dosa-dosa mereka adalah melalaikan tanggungjawab nafkah sehingga isteri terpaksa menambah pendapatan dengan keluar bekerja.
Apabila isteri bekerja suami pula menuntut apa yang isteri tak sanggup buat di rumah. Kerja-kerja rumah dibiarkan isteri uruskan sendiri, mendidik anak-anak dan melayan suami yang cerewet meminta itu ini.
Isteri yang letih dimarahi, diancam poligami, kalau isteri berduit suami dulu yang ‘mengepau’ sampai dia tidak merasa hasil jerih payahnya sendiri. Suami mahu dilayan macam raja, isteri hanya dipergunakan sebagai hamba.
Isteri yang malang ini tiada masa untuk beribadah, asyik bekerja ke sana ke mari. Fikirannya berserabut kerana sikap suami yang pentingkan diri. Di samping itu anak-anak semakin menuntut perhatian untuk disayangi.
Rumah bukannya tempat yang seronok untuk diduduki melainkan sekadar tempat merehatkan badan, untuk tidur semata-mata kemudian pergi. Hidup ini bukannya lama, jika suami dan isteri tenggelam dalam keletihan mengejar duniawi apalagi yang boleh diharap dengan perkahwinan sebegini?
Firman Allah Taala menempelak mereka yang bermaksud:
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"(Surah Al-mukminun ayat:115)
Tiada masa untuk isteri beribadah dengan khusyuk, suami pula kerana cetek ilmu agamanya tiada langsung memberi tunjuk ajar bagaimana menjadi mukmin yang hakiki. Akhirnya isteri lalai meninggalkan suruhan yang fardu apatah lagi yang sunat, padahal Allah hanya mengasihi orang-orang yang mengerjakan suruhan-Nya. Sebagaimana hadis NAbi SAW yang bermaksud:
“Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan hambaKu yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Mengingati mati
Apakah nasib isteri setelah tenaganya diperah untuk keluarga tetapi dirinya terkorban angkara suami yang mengkhianati amanah perkahwinan? Isteri yang insaf seharusnya tidak meletakkan nasib badannya di akhirat pada bahu suami seorang sahaja.
Suami dan isteri harus memainkan peranan merubah keadaan yang tak baik menjadi baik. Mengingati mati merupakan ubat yang paling mujarab untuk suami dan isteri yang berdosa.
Apabila anda bangun malam ini ketahuilah bahawa Allah SWT yang membangunkan anda. Kemudian lihatlah insan yang terbaring di sisi, bersediakah anda menerima khabar bahawa cinta hati anda itu telah menghadap Ilahi?
Yang tidur hanya jasadnya, rohnya kini entah di mana. Sedangkan anda masih saja rasa aman dengan maksiat kepada Allah dan dosa kepada kekasih hati. Tolonglah bersihkan diri dan basahi anggota dengan wuduk supaya berguguran dosa-dosa itu.
Kemudian lafazkan takbir dan bersujud seolah-olah inilah sujud yang terakhir. Malam ini anda mungkin tidur sendirian, kerana suami belum tentu pulang membawa roh dan jasad. Bagaimana jika dia pergi di tengah-tengah kesibukan dunia yang melampau, sedangkan anda tidak bersedia menerima khabar dukanya. Jika suami isteri tidak ingat tentang kematian, mestilah perpisahan sebegitu amat menyedihkan. Berkumpul dan berpisah akan indah dikenang jika keduanya sama beriman.
Secebis perkongsian daripada Dr. Juanda berkenaan isu kematian cinta dalam ruangan Sri Wanita Anggun dalam keluaran MW 1540. Dapatkan majalah MW terbaru di pasaran dengan paparan isu yang lebih menarik dan perkongsian tip daripada pakar.
No comments:
Post a Comment